Rezeki air pasang besar

TANJUNG BIDARA 20 Okt – Musim air pasang besar ketika ini turut membawa rezeki buat nelayan pinggir pantai yang menjadikan belangkas sebagai sumber rezeki mereka.

Nelayan Amran Yusof, 53, berkata, jumlah haiwan yang hidup di laut masin itu meningkat berkali ganda pada musim air pasang besar kali ini berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah, kali ini saya dapat antara 20 hingga 25 ekor belangkas hasil daripada pukat yang kami pasang sejak pagi semalam dan dibiarkan semalaman sebelum ditarik pagi ini.

“Jumlah itu agak tinggi berbanding hanya antara 10 hingga 13 ekor ketika tiada air pasang besar sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak hari ini.

Menurutnya, air pasang besar menyebabkan lebih banyak belangkas menghampiri pinggir pantai kerana paras air yang tinggi hingga gigi pantai membolehkan haiwan itu berenang di pasir pantai berhampiran daratan.

Bagi Mohd Khairul Azhar, 26, setiap belangkas yang diperoleh dijual antara RM12 hingga RM13 seekor kepada peraih yang membawa belangkas ke selatan Thailand sebelum dieksport ke Jepun dan Korea.

“Alhamdulillah, rezeki kami bertambah hari ini dan kami berdoa agar jumlah tangkapan lebih tinggi esok kerana air pasang besar dijangka berlarutan antara dua atau tiga hari lagi.

“Bagaimanapun, hanya belangkas yang mempunyai telur yang dibeli peraih kerana telur berkenaan amat digemari masyarakat Jepun dan Korea,” katanya

Share:

More Posts

‘Malaysia Clean Up Day di Qashrina’

Bersempena dengan program ‘Malaysia Clean Up Day’ yang berlangsung pada 19 September yang lalu, Pertubuhan Pendidikan Kesedaran Dan Minda Prihatin Malaysia atau lebih dikenali sebagai

Makan di Qruise

Qashrina Qruise bukan sahaja menyediakan pakej penginapan yang eksklusif, tetapi juga menyediakan perkhidmatan sewaan dewan berserta pakej makanan yang berkualiti dan berpatutan. Pakej-pakej seperti Majlis